PETALING JAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) bakal menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia dengan menawarkan peluang pembangunan kemahiran dan pengetahuan secara percuma.
Menerusi National Training Week (NTW) 2024, rakyat Malaysia boleh mendapatkan akses kursus latihan secara percuma di pelbagai lokasi melalui pelbagai mod dan platform pembelajaran.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, NTW 2024 yang bakal diadakan pada 24 hingga 30 Jun 2024 merupakan kesinambungan daripada program tahun sebelumnya yang mendapat sambutan amat menggalakkan.
“Mei tahun lalu, NTW menyediakan lebih 21,000 kursus latihan percuma kepada lebih daripada 129,000 rakyat Malaysia di samping mencatatkan lebih daripada 503,000 jam latihan.
“Tahun ini, NTW 2024 menetapkan sasaran lebih besar iaitu sebanyak 150,000 pendaftaran di seluruh negara.
“Kami akan memberi tumpuan yang lebih besar kepada program latihan percuma dalam lima teras iaitu kemahiran hidup, kemahiran masa depan, kreativiti dan inovasi, kewangan, dan pembangunan mampan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pra Pelancaran NTW 2024 di Hotel Hilton di sini hari ini.
Steven berkata, KSM menerusi agensi seperti HRD Corp terus komited untuk bekerjasama dengan pemain industri dalam kemahiran yang diingini sama ada di universiti, institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) atau melalui pensijilan.
Tambah beliau, pihak industri telah memberikan peruntukan untuk menyediakan kursus latihan bernilai 200 juta ringgit supaya rakyat Malaysia dapat menikmati latihan percuma.
“Kita ada lebih kurang 1.2 juta SME di Malaysia. Tetapi, SME yang mempunyai keupayaan atau berada di paras membayar levi hanya lebih kurang 80,000.
“Jadi kita tahu, pasaran latihan ini adalah luas. Jadi sepanjang minggu ini, kami akan sediakan syarikat percuma kepada semua. Perkara ini sangat penting memandangkan kita sedang menumpukan pada teras 3K iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan,” ujarnya.
Menurut Steven, selain penawaran latihan percuma, fokus utama NTW tahun ini adalah untuk menanam semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Selain itu, kami juga ingin membina persekitaran latihan serta pembangunan yang kondusif dan kolaboratif, memperkukuh ekosistem peningkatan kemahiran, penyesuaian semula kemahiran, dan pemahaman terhadap pelbagai kemahiran bagi jurulatih dan peserta latihan.
“Semua ini adalah penting ketika kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia melalui kemahiran dan pengetahuan.
“Kita ada ekosistem dan syarikat bertaraf dunia di Malaysia. Jadi, (itu bermaksud) pekerja kita juga berkemahiran bertaraf dunia. Jadi munasabahlah jika pusat pemberi latihan kita juga bertaraf dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE