MQA telah membangunkan Garis Panduan Amalan Baik: Micro-credentials (GGP:MC) dan pelaksanaannya telah dimaklumkan kepada pihak berkepentingan melalui Surat Makluman MQA Bil. 8/2020 bertarikh 10 Ogos 2020.
Berdasarkan GGP:MC ini, ‘Micro-credential’ didefinisikan sebagai pensijilan bagi pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang dinilai dalam bidang tertentu yang direka daripada komponen program yang diakreditasi oleh MQA atau kursus stand-alone yang menyokong perkembangan profesional, teknikal, akademik dan peribadi pelajar/pekerja.
Tujuan utama dokumen GGP:MC dibangunkan adalah untuk:
menyokong pembelajaran fleksibel dengan menyediakan sumber rujukan tentang pelaksanaan Micro-credentials kepada pihak berkepentingan;
mempermudah, membimbing dan memperkasa semua jenis Micro-credentials sama ada bertujuan untuk melengkapi, sebagai pengganti, atau komponen program akademik yang ditawarkan oleh penyedia pendidikan; dan
menjelaskan dasar dan kaedah terbaik untuk melaksanakan pecah kecil pakej program yang telah mendapat akreditasi atau kursus stand-alone secara Micro-credentials serta dasar pindah kredit bagi tujuan mendapatkan penganugerahan kelayakan akademik.