Apa Itu APEL?

APEL adalah Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu. Ia didefinisikan sebagai satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu. APEL memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Secara umumnya, penilaian APEL melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya terdahulu.

SOALAN LAZIM FAQ

1. Apakah tujuan APEL.A?

APEL.A didefinisikan sebagai satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu, seperti ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sikap bagi menentukan tahap di mana seseorang individu telah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan, sebagai akses kepada sesuatu program pengajian dan/atau penganugerahan kredit.

APEL.A memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di Pemberi Pengajian Tinggi (PPT). Secara umumnya, penilaian APEL.A melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya terdahulu.

2. Bagaimana hendak memohon APEL?

Permohonan dibuat secara dalam talian di https://www2.mqa.gov.my/apel_a/

3. Apakah kriteria permohonan APEL.A?

  • Program peringkat Ijazah Sarjana:

    Iaitu bagi kemasukan ke program Ijazah Sarjana, calon haruslah berumur 30 tahun mulai 1hb Januari pada tahun permohonan dan memiliki kelayakan STPM atau Diploma atau kelayakan-kelayakan lain yang diiktiraf setara dengannya serta mempunyai pengalaman yang bersesuaian.

  • Program peringkat Ijazah Sarjana Muda:

Iaitu bagi kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda, calon haruslah berumur 21 tahun mulai 1hb Januari pada tahun permohonan dan memiliki pengalaman kerja yang berkaitan.

  • Program peringkat Diploma:

Iaitu bagi kemasukan ke program Diploma, calon haruslah berumur 20 tahun mulai 1hb Januari pada tahun permohonan dan memiliki pengalaman kerja yang berkaitan.

  • Program peringkat Sijil:

Iaitu bagi kemasukan ke program Sijil, calon haruslah berumur 19 tahun mulai 1hb Januari pada tahun permohonan dan memiliki pengalaman kerja yang berkaitan.

4. Apakah peringkat pengajian yang boleh dipohon menggunakan APEL.A?

Buat masa ini penilaian APEL.A di Malaysia bertujuan untuk kemasukan ke PPT sahaja dan dibuka untuk EMPAT peringkat kemasukan iaitu:

Kemasukan ke program Sijil (APEL T-3);

Kemasukan ke program Diploma (APEL T-4);

Kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6); dan

Kemasukan ke program Ijazah Sarjana (APEL T-7).

5. Adakah sijil APEL.A setara dengan sijil program akademik di PPT?

Pensijilan APEL hanya boleh digunakan oleh pemohon untuk tujuan melanjutkan pelajaran ke PPT. Ianya bukanlah penganugerahan kelayakan sepertimana program akademik di PPT. Sijil APEL juga tidak boleh digunakan untuk tujuan pekerjaan.

Contohnya: Sijil APEL bagi peringkat Sarjana (Tahap 7) hanya boleh digunakan untuk memohon kemasukan ke PPT bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana. Ianya bukanlah penganugerahan bagi program Sarjana seperti yang dikeluarkan oleh PPT.

6. Apa itu APEL.C?

APEL.C ialah kaedah penilaian ilmu yg diperoleh daripada pengalaman kerja, pengalaman hidup atau himpunan kursus pendek bagi tujuan mendapatkan pindahan kredit untuk kursus dalam program akademik di Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT).

7. Apakah perbezaan APEL.A dengan APEL.C?

APEL yang dilancarkan sebelum ini adalah untuk tujuan kemasukan ke PPT iaitu dikenali sebagai APEL(Access). APEL.C atau APEL(Credit) pula adalah untuk tujuan mendapatkan pindahan kredit.

Melalui pelaksanaan APEL.A dan APEL.C, individu yang mempunyai pengalaman yang luas bukan sahaja boleh masuk ke program di PPT tetapi juga boleh menggunakan pengalamannya untuk mendapatkan pindah kredit bagi kursus tertentu dalam program pengajian. Justeru itu, pelajar dapat melengkapkan pengajiannya dalam tempoh yang lebih singkat.

Bagi tujuan permohonan penilaian APEL.C, seseorang itu mesti berstatus pelajar (telah berdaftar dalam program pengajian di PPT).

7. Adakah ditetapkan had umur untuk memohon APEL.C?

Tiada. APEL.C tidak seperti APEL.A yang menetapkan had umur tertentu bagi setiap tahap pengajian.

8. Adakah APEL.C hanya terhad kepada warganegara dan pelajar yang melalui laluan APEL.A?

Tidak. APEL.C terbuka kepada semua pelajar di PPT yang telah mendapat kelulusan menjalankan APEL.C, sama ada berstatus warganegara atau pelajar antarabangsa. APEL.C juga terbuka kepada semua pelajar tidak kira kaedah kemasukan ke program pengajian, sama ada melalui laluan APEL.A atau konvensional.

9. Apakah kebaikan APEL.C

Antara kebaikan APEL.C ialah:

memungkinkan pelajar menghabiskan pengajian dalam tempoh yang lebih singkat;
menggalakkan individu yang bekerja untuk kembali belajar;
mengiktiraf pengalaman pembelajaran individu yang diperoleh di luar aliran formal;
mengelakkan pembelajaran yang berulang;
boleh mengurangkan kos pengajian pelajar;
menjadikan sistem pendidikan tinggi kita lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran terdahulu;
salah satu kaedah untuk mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat
mewujudkan masyarakat berilmu bagi tujuan meningkatkan ekonomi negara dan pembangunan sosial; dan
menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara melalui pengiktirafan pekerja berkemahiran.